Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud:
Bismillahirahmanirahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Speaker, saya amat bersyukur kerana pilihan raya Negeri kesebelas telah dilaksanakan dengan jayanya. Penyertaan pelbagai parti politik dalam pilihan raya Negeri kali ini telah membuktikan bahawa amalan demokrasi berjalan dengan baik di Negeri kita ini. Kita patut sama-sama berasa bangga kerana ini.
Rakyat Negeri Sarawak telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam proses pilihan raya Negeri. Pilihanraya Negeri kali ini juga menunjukkan kematangan rakyat kerana jelas mereka telah menolak sebarang bentuk politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian yang sedia terjalin di Negeri ini.
Rakyat Negeri ini juga mahukan sebuah Kerajaan yang dapat membela nasib dan masa hadapan mereka serta merancakkan pembangunan dan membawa kesejahteraan yang berterusan.
Saya ingin mengingatkan bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk membawa Negeri Sarawak ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.
Kerajaan Negeri yang kuat dan stabil juga sudah semestinya akan membolehkan Negeri Sarawak untuk terus mendapat perhatian dan sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam menambah peruntukan pembangunan yang amat diperlukan oleh Negeri ini.
Manifesto Barisan Nasional telah diterima dengan baik oleh rakyat. Manifesto yang komprehensif ini menyentuh pelbagai aspek pembangunan sosio-ekonomi, pemeliharaan alam sekitar serta mempertahankan hak rakyat dan Negeri Sarawak di dalam Malaysia.
Tuan Speaker, dalam usaha untuk membangunkan Negeri Sarawak, hubungan rapat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah sangat penting. Negeri Sarawak masih memerlukan perhatian yang khusus daripada Kerajaan Persekutuan, terutamanya dalam penyediaan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan kesihatan dan kemudahan pendidikan.
Saya yakin hubungan dan kerjasama rapat yang sedia terjalin akan memudahkan usaha kedua-dua belah pihak untuk berbincang terutamanya mengenai keperluan pembangunan di Negeri Sarawak yang perlu sangat dengan pembangunan. Menerusi mandat besar yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya Negeri yang Kesebelas, ia akan membolehkan Kerajaan Negeri berbincang dengan Kerajaan Persekutuan secara lebih berkesan bagi mengimbangi tahap pembangunan di antara Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas keperihatinan dalam memenuhi keperluan Negeri Sarawak yang perlu dihebatkan untuk mencapai persamaan dengan Negeri- Negeri yang sudah maju di Semenanjung.
No comments:
Post a Comment