Friday 10 June 2016

Kontrak Sosial tiada kaitan dengan Sarawak



Kontrak Sosial merupakan permuakatan di antara parti-parti politik di Malaya iaitu UMNO, MCA dan MIC yang mewakili kaum masing-masing iaitu Melayu, Cina dan India yang berlaku di Malaya sebelum Malaya merdeka pada tahun 1957. Jadi, Kontrak Sosial merupakan permuafakatan yang dibuat oleh parti-parti politik yang mewakili rakyat Malaya semasa pembentukan Persekutuan Malaya. Untuk makluman, tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat Kontrak Sosial secara penuh. Faktanya, Kontrak Sosial hanyalah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Kontrak Sosial bukan lah undang-undang dan bukan lah perlembagaan bagi Persekutuan Malaya, apatah lagi untuk Persekutuan Malaysia yang ditubuh berasaskan Perjanjian Malaysia 1963. Maka, Kontrak Sosial langsung tiada kaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia dan semestinya tiada kaitan dengan negara Sarawak. 

Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang dimeterai di London pada 9 Julai 1963. Perjanjian Malaysia merupakan perjanjian antarabangsa yang dibuat antara Kerajaan Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan British. Darjat Perjanjian Malaysia 1963 lebih tinggi daripada Perlembagaan Malaysia itu sendiri dan semestinya jauh lebih tinggi daripada Kontrak Sosial yang hanya dibuat secara muafakat antara parti-parti politik di Malaya untuk Persekutuan Malaya sahaja. 

Kerana tinggi nya kedudukan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai satu perjanjian antarabangsa, Perlembagaan Malaysia tidak dapat mengubah mana-mana terma dan syarat yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Malah, Perlembagaan Malaysia wajib selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963. Mana-mana perubahan yang dibuat di dalam Perlembagaan Malaysia yang berlawanan dan bercanggah dengan Perjanjian Malaysia 1963 merupakan satu perlanggaran undang-undang antarabangsa dan sekiranya perlanggaran tersebut menjadi "Pertikaian (Dispute)", boleh memecahkan negara-negara anggota yang menubuhkan Persekutuan Malaysia itu sendiri.

Kontrak Sosial, langsung tidak boleh menyentuh dan mengubah Perlembagaan Malaysia apatah lagi Perjanjian Malaysia 1963 sebab ia hanyalah permuafakatan antara kaum di Malaya dan dibuat antara parti-parti politik sahaja. 

Sekiranya pada hari ini, parti politik STAR, PBDS Baru dan PBK membuat permuafakatan, perlu kah satu negara mengikut dan mematuhi nya? Begitu juga permuafakatan bernama Kontrak Sosial tersebut, parti politk UMNO, MCA dan MIC membuat permuafakatan, terpulang kepada rakyat Malaya mahu ikut atau tidak. Ianya bukan lah undang-undang dan perjanjian.

Sarawak langsung tiada kaitan dengan Kontrak Sosial. Kontrak Sosial itu isu Malaya. Kontrak Sosial itu bukan isu Malaysia. 

No comments:

Post a Comment